KUALA LUMPUR, 28 Februari 2026 – Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg telah menghadiri Majlis Sungkei Anak Sarawak 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) pada Sabtu, bersamaan 10 Ramadan 1447H.
Ketibaan beliau sekitar jam 7 petang bersama anakanda, Puan Dayang Norjihan, telah disambut mesra oleh Timbalan Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Datuk Amar Haji Fadillah bin Haji Yusof dan isteri, Yang Amat Berbahagia Datin Amar Hajah Ruziah binti Mohd Tahir, serta barisan menteri-menteri, ketua-ketua jabatan serta dif-dif kenamaan yang lain.
Premier Sarawak turut menyambut ketibaan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar bersama isteri, Yang Amat Berbahagia Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah binti Mohd Sanusi.
Majlis dimulakan dengan penyampaian cenderahati daripada Yayasan Sarawak kepada tetamu kehormat sebagai tanda penghargaan.
Seterusnya, bacaan ayat-ayat suci al-Quran dialunkan dengan penuh penghayatan, menambahkan lagi keberkatan majlis yang berlangsung.
Setelah azan Maghrib berkumandang, para tetamu menikmati juadah berbuka puasa bersama dalam suasana penuh kesyukuran dan ukhuwah, sebelum menunaikan solat fardu Maghrib secara berjemaah dengan penuh khusyuk.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan penyampaian sumbangan wang tunai kepada 40 pelajar anak Sarawak yang belajar di semenanjung Malaysia sebagai sebahagian daripada inisiatif kebajikan, mencerminkan keprihatinan terhadap kebajikan anak-anak Sarawak di perantauan.
Acara diteruskan dengan solat Isyak dan diakhiri dengan solat sunat Tarawih secara berjemaah, sekali gus menutup majlis dalam suasana penuh keinsafan dan keberkatan Ramadan.